SYDNEY - Seorang bayi lelaki
pramatang yang telah disahkan meninggal dunia di Australia hidup kembali
selepas dia dipeluk oleh ibunya selama dua jam.
Dalam kejadian pada Mac lalu yang
disifatkan sebagai keajaiban Tuhan, doktor-doktor memberitahu, bayi berkenaan
yang diberi nama Jamie Ogg, tidak berpeluang untuk hidup setelah dia dilahirkan
pada minggu ke-27 dengan berat badannya hanya 600 gram di sebuah hospital di
sini.
Bagaimanapun, kembar Jamie iaitu
Emily berjaya diselamatkan selepas dia diberikan bantuan pernafasan selama 20
minit.
Doktor kemudian menyerahkan Jamie
yang disahkan telah meninggal dunia kepada ibunya Kate dan pasangannya David
untuk penghormatan terakhir.
Sedih dan sukar menerima hakikat
bahawa anaknya telah mati, Kate meletakkan Jamie di atas dadanya dan
mengusap-usap anakya sambil menceritakan mengenai apa yang mereka ingin lakukan
bersama jika dia dapat membesar bersama adik kembarnya, Emily.
Selepas dua jam dipeluk, tubuh Jamie
kembali hangat dan dia mula menunjukkan tanda-tanda bernafas.
Kate kemudian memberikannya susu
dengan menggunakan jari.
"Saya berasa sangat sedih
apabila doktor memberitahu dia tidak dapat diselamatkan. Tanpa berfikir panjang
saya terus memeluknya. Dia kemudian mula bernafas dan membuka mata. Sungguh
ajaib," kata Kate.
Seorang doktor yang dipanggil untuk
memeriksa Jamie mengesahkan bahawa bayi itu hidup, tetapi tidak dapat
menerangkan bagaimana fenomena itu berlaku.
No comments:
Post a Comment