Asal Usul Sang Kelembai
Bercerita mengenai kebolehan Sang Kelembai menyumpah manusia dan haiwan menjadi batu sering menakutkan manusia zaman dahulu. Makhluk misteri
yang tinggal di hutan tebal itu dikatakan pantang mendengar bunyi
bising dan akan bertindak menyumpah apa sahaja jika dia sedang marah.
Terdapat pelbagai versi cerita Sang Kelembai
yang terkenal di tiga buah negeri iaitu Perak, Kedah dan Pahang. Di
Perak, Kampung Gajah yang terletak di Teluk Intan dikatakan mendapat
nama daripada kisah Sang Kelembai. Begitu juga Lata Kinjang di Tapah dan Lata Batu Hampar di Padang Rengas.
Di
Pahang pula, makhluk itu sinonim dengan Orang Asli daripada suku kaum
Batek dan Semelai di Kuala Tahan, Kampung Batu Sawar dekat Pekan dan Gua
Kota Gelanggi di Jerantut. Dalam pada itu, ada juga dakwaan mengatakan
kisah ini berlaku di Kodiang, Kedah.
Sumpahan Sang Kelembai.
Menurut
cerita penduduk Kampung Gajah, tempat itu mendapat nama daripada batu
di kaki Bukit Tunggal yang berbentuk seperti gajah. Batu itu wujud hasil
sumpahan Sang Kelembai terhadap tiga ekor gajah yang sering membuat
bising. Malah, peristiwa mengejutkan itu disaksikan seorang lelaki yang
suka memencilkan diri di hutan.
Sang Kelembai Sebagai Budak Sakti
Memandangkan
Batu Gajah masih tidak mempunyai nama dan baru diterokai, lelaki itu
menamakan tempat itu Batu Gajah. Bukan sekadar makhluk halus, Sang
Kelembai juga digambarkan sebagai seorang budak lelaki yang mempunyai
kuasa sakti.
Budak tersebut gemar
makan rebung buluh menyebabkan penduduk Kampung Gajah sukar mendapatkan
buluh kerana semua anak buluh sudah habis dimakan.
Budak
lelaki itu kemudian dihalau dari kampung selepas semua pohon buluh
ditebang. Di Kuala Tahan, Orang Asli di situ menceritakan Sang Kelembai
ialah seorang manusia berbadan besar dan tinggi. Oleh kerana tubuhnya
besar, dia boleh sampai ke negeri Terengganu dari Pahang dengan beberapa
langkah sahaja.
Uniknya, makhluk itu
boleh berinteraksi dengan penduduk kampung. Cara komunikasi mereka juga
unik iaitu jika ada urusan dengan Sang Kelambai, orang-orang alim akan
dihantar bagi mewakili penduduk kampung.
Malangnya,
Sang Kelembai mengamuk selepas anak lelakinya meninggal dunia
disebabkan tercekik buah perah yang banyak terdapat di tebing Sungai
Tembeling. Berang dan sedih dengan kejadian itu, gergasi itu mengamuk
dan mencabut semua pokok buah perah di sepanjang sungai berkenaan.
Akibatnya, buah perah tiada lagi di tebing Sungai Tembeling hingga
sekarang.
Gua Kota Gelanggi yang
terletak kira-kira 25 kilometer dari Jerantut pula mempunyai kisah
tersendiri. Ia sering dikaitkan dengan orang bunian dan Sang Kelembai.
Di situ juga wujud batu menyerupai pengantin bersanding, ular dan singa
yang dipercayai akibat sumpahan Sang Kelembai.
Sang Kelembai Sebagai Raksasa betina
Dalam
pada itu, negeri yang terkenal dengan jolokan Negeri Jelapang Padi
turut menerima tempias Sang Kelembai. Penduduk sebuah kampung di Kodiang
misalnya menceritakan wujud bongkah batu seperti seekor kerbau yang
didakwa disumpah oleh Sang Kelembai. Gua itu ialah Gua Kerbau yang
merupakan ikon pelancongan negeri Kedah.
Lebih
pelik ada yang mengatakan Sang Kelembai sebenarnya makhluk besar betina
yang mendiami kawasan hutan berhampiran Air Terjun Lata Kinjang di
Tapah, Perak. Makhluk itu digambarkan tinggal bersama keluarganya. Ia
ditakuti penduduk kampung kerana berperwatakan bengis. Rambutnya
berwarna merah panjang mengurai sehingga beberapa meter.
Kawasan
batu di sekitar air terjun di situ pula dikatakan terbentuk akibat
sumpahan raksasa itu kepada manusia dan haiwan. Ia berang selepas
anaknya mati akibat terlanggar sebatang pokok.
Kredit Info : kosmo.com.my : Sumpahan Sang Kelembai.
No comments:
Post a Comment